SHAH ALAM – Penjawat awam dan golongan profesional antara peserta yang dipercayai terlibat dalam program motivasi rumah tangga eHATI.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesertanya terdiri daripada pelbagai negeri termasuk seorang daripadanya telah ditangkap di Kedah.
Katanya, program tersebut juga bukan konsep Islam sebaliknya lebih kepada motivasi.
“Peserta dalam pelbagai profesion dan pelbagai negeri. Ada pesertanya adalah penjawat awam.
“Pesertanya juga ada individu beragama lain sebab penganjur menganjurkan motivasi mencari kebahagian kembali.
“Jadi, program ini adalah umum dan bersifat motivasi dan bukan berkonsepkan Islam, ” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti 50 individu termasuk peserta yang menyertai penganjuran program itu di pusat konvesyen tersebut.
Difahamkan kesemua peserta itu terdiri mereka berusia 36 hingga 62 tahun.
“Kita telah merakam keterangan 30 individu termasuk penganjur dan fasilitator. Harapkan mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum tindakan tegas termasuk ditangkap,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, pihaknya telah merampas beberapa peralatan digunakan dalam majlis tersebut serta cecair yang dikatakan mengkhayalkan digunakan dalam minuman bagi program itu.
“Kita telah rampas beberapa jenis cecair dan dalam tindakan menghantar ke Jabatan Kimia bagi menyiasat sama ada bahan itu mengandungi dadah atau lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE