fbpx

Durian Che Tat laku sampai ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIMAN (kiri) menunjukkan durian Che Tat yang mendapat permintaan tinggi saban tahun ketika ditemui di Segamat baru-baru ini.

SEGAMAT – Musim durian sentiasa dinanti oleh pengusaha durian Che Tat dari Segamat kerana ia bukan sahaja menjadi rebutan dalam kalangan penduduk tempatan, malah dieksport ke luar negara hingga memperoleh pendapatan lumayan mencecah RM5 juta.

Noriman Haikal Mohd. Nazri, 25, berkata, nama durian itu diambil sempena nama bapanya, Muhamad Nazri Mogit, 48, atau dikenali sebagai Che Tat dan Allahyarham datuknya, ustaz ­(tat) Mogit Sadio yang meninggal dunia pada 2008.

Katanya, tahun ini dia mene­rima tempahan untuk memasarkan durian hingga ke China dan Singapura selain ke seluruh negara.

“Kualiti durian Segamat sangat baik hingga mendapat permintaan tinggi. Kami perlu mengeksport 40 tan buah durian seminggu sekali ke China dan Singapura pula lima tan setiap hari menggunakan kontena.

“Kami mempunyai 8,880 batang pokok durian pelbagai jenis seperti musang king, black thorn, IOI, udang merah, D13 dan kampung kahwin yang ditanam di dalam kebun seluas 59 hektar,” katanya ketika ditemui di Majestic Johor X Festival Durian di Dataran Segamat baru-baru ini.

Menurut Noriman, kesemua kebun itu terletak di Pagoh, Muar dan Kampung Sepinang, manakala gerainya di Taman Yayasan, Segamat.

Tambahnya, dia menjual black thorn antara RM45 hingga RM90 sekilogram, udang merah, D13 dan IOI (RM15-RM30), kampung kahwin (RM18) dan musang king (RM15-RM70).

“Harga pula bergantung kepada bekalan dan pasaran. Untuk festival kali ini kita anggarkan lima tan durian dapat dijual,” katanya.

Ujar Noriman, dia sekeluarga berterima kasih kepada FAMA dan Jabatan Pertanian Segamat yang banyak memberikan bantuan logistik serta peralatan penyimpanan durian di kilang sejak 2022.

“Durian runtuh untuk keluarga kami biasanya terjadi antara Julai dan November setiap tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI