IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pihak pembelaan mewakili pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa membunuh seorang pelajar tingkatan lima untuk memfailkan hujahan bertulis yang baharu dalam tempoh enam minggu.
Ini kerana, hujahan bertulis yang difailkan pembelaan sebelum ini tidak menjawab kepada hujahan yang difailkan oleh pendakwaan.
“Memandangkan peguam bela akan failkan hujahan bertulis yang baharu, saya benarkan penangguhan ini untuk pihak pembelaan failkan hujahan yang baharu.
“(Mahkamah beri) masa enam minggu kepada pihak pembelaan dan pihak pendakwaan perlu menjawab dalam masa empat minggu,” kata Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Bhupindar kemudian menetapkan 1 dan 2 Oktober depan bagi pendengaran hujahan lisan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, membabitkan pegawai kanan polis, dua tahun lalu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk mendengar hujahan lisan di akhir kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE