fbpx

‘Bukan sekadar trofi, tetapi keadilan yang lama dinanti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAi antara pelakon aksi dengan seni mempertahankan diri bertaraf profesional, sekurang-kurang tercalon dalam kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang pertama kali diperkenalkan FFM34 tahun kali ini sebagai sudah cukup baik buatnya. – FARIZ RUSADIO

DUNIA perfileman tanah air mencatat sejarah tersendiri apabila Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) buat julung kali memperkenalkan kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, sebagai tanda penghargaan terhadap penggiat seni aksi tanah air yang selama menggadaikan keselamatan demi menghidupkan naskhah di layar perak.

Dalam menyantuni usaha dan keberanian insan seni tersebut, kategori baharu tersebut dianggap sebagai langkah revolusi buat FFM yang selama ini lebih memberi tumpuan kepada aspek lakonan dan pengarahan konvensional.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching juga menyifatkan pengiktirafan tersebut satu keperluan mutlak bagi memberi penghormatan kepada pelakon aksi serta tenaga produksi yang berdepan risiko tinggi semata-mata untuk menyampaikan naskhah visual terbaik.

Perkembangan tersebut disambut penuh syukur pelakon aksi berpengalaman, Andy Teh, yang menyifatkan pengiktirafan sebegitu sebagai berita paling menggembirakan sepanjang lebih satu dekad penglibatan dalam dunia seni lagak ngeri.

“Anugerah ini setidaknya akan membuat pasukan pelakon lagak ngeri lebih bersemangat selain menghargai sumbangan yang mereka curahkan kepada industri kita.

“Ramai tak tahu, tapi bagi menjayakan aksi kita sebenarnya bermain dengan nyawa. Walaupun keselamatan sudah dijaga, namun tetap ada risiko perlu diambil,” katanya kepada HibGlam.

Ujar pemilik nama sebenar Andy Teh Kim Huat yang bermula sebagai ‘stuntman’ itu, dia melihat anugerah ini bukan sekadar trofi, tetapi satu bentuk keadilan yang telah lama dinanti.

“Saya bermula dengan buat ‘stunt’, jadi bila kategori baharu ini diperkenalkan, saya seronok. Mungkin ada peluang untuk tercalon.

“Sebelum ini saya pernah baca artikel mengenai pasukan ‘stunt’ di Malaysia kurang dihargai. Jadi, apabila anugerah seperti ini ada, akan memberi semangat kepada ‘stuntman’.

“Ini satu berita sangat bagus kerana di Malaysia sudah banyak filem aksi, semoga ini menjadi pembakar semangat untuk pelakon dan koreografer aksi,” ujarnya.

Pelakon Blood Brothers itu juga turut menzahirkan kegembiraan melihat kualiti aksi dalam filem tempatan yang semakin mendapat tempat dan maklum balas positif, bahkan dari luar negara.

“Kita juga sudah lihat bagaimana filem aksi diterima baik. Tahap kualiti aksi kita boleh tahan juga dengan melihat reaksi terhadap Blood Brothers yang ditayangkan di Indonesia.

“Kita dapat banyak komen positif, tak sangka filem kita begitu,” jelasnya merujuk kepada karakter Pablo lakonannya dalam filem berkenaan.

Lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun tidak meletakkan harapan besar untuk menggenggam trofi sulung kategori berkenaan.

“Saya tidak letakkan harapan. Cuma bila dapat projek saya akan buat sebaik mungkin, 200 peratus.

“Kalau ada rezeki untuk menang, okey. Kalau tidak, setidaknya tercalon pun sudah cukup baik. Tahun lalu saya ada filem Pagari Bulan sebagai tiket.

“Tahun ini filem lakonan saya yang bakal bertanding adalah Blood Brothers dan Pendekar Awang,” tuturnya.

Pemenang kategori aksi bakal membawa pulang trofi eksklusif dan wang tunai RM5,000 sebagai simbol pengiktirafan terhadap keberanian dan dedikasi terhadap dunia seni tanah air.

Tahun ini, FFM34 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 8 November depan.

Acara prestij anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu mengetengahkan tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik memperlihatkan keberanian pengkarya filem Malaysia dalam menongkah arus dan menjelajah sempadan visual.

Senarai kategori FFM34:

  • Filem Terbaik
  • Pengarah Terbaik
  • Pelakon Lelaki Terbaik
  • Pelakon Wanita Terbaik
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
  • Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
  • Pengarah Harapan
  • Pelakon Lelaki Harapan
  • Pelakon Wanita Harapan
  • Cerita Asal Terbaik
  • Lakon Layar Terbaik
  • Sinematografi Terbaik
  • Penyunting Terbaik
  • Penataan Bunyi Terbaik
  • Penataan Seni Terbaik
  • Kesan Khas Visual Terbaik
  • Skor Muzik Terbaik
  • Lagu Tema Terbaik
  • Tatarias/Solekan Terbaik
  • Rekaan Kostum/Busana Terbaik
  • Poster Terbaik
  • Filem Pendek Terbaik
  • Dokumentari Terbaik
  • Anugerah Khas Karyawan
  • Anugerah Khas Sepanjang Zaman
  • Anugerah Khas Juri 1
  • Anugerah Khas Juri 2
  • Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik
  • Anugerah Khas Filem Box Office
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI