ISKANDAR PUTERI – Bangkai helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini Khamis lalu dijangka dinaikkan esok.
Tinjauan Kosmo! di lokasi nahas mendapati pasukan Penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PDRM sedang melakukan persiapan untuk melakukan operasi penyelaman untuk menilai tindakan yang akan diambil.
Bangkai helikopter itu dijangkakan akan dinaikkan seawal pukul 8 pagi.
Terdahulu, mesyuarat penyelarasan tindakan berlangsung antara pasukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), TLDM, Pasukan Polis Marin (PPM), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Ketua JKDNKA Johor, Senior Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah dan Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.
Mesyuarat itu berlangsung di Markas Operasi Bersepadu Nahas Helikopter berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi Khamis lalu, helikopter jenis AS355N nombor pendaftaran 9M-PHG terhempas ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Insiden itu menyebabkan dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal.
Manakala, juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.-KOSMO! ONLINE