MUAR – Cermin kereta jenis Perodua Axia bahagian pemandu dan penumpang hadapan milik pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin didapati terbuka ketika ditemui dalam sungai Kampung Tui di kawasan kebun sawit, Bukit Kepong di sini petang semalam.
Menurut Ketua Bomba Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari, kereta yang dipandu lelaki itu dinaikkan kira-kira pukul 3 petang semalam.
Katanya, operasi mencari Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau Ija masih diteruskan hingga lewat malam tadi.
“Pagi ini pihak polis, bomba dan agensi terlibat meneruskan operasi pencarian. Semalam, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) melakukan selaman sehingga pukul 7.45 malam bagi mencari mangsa di dalam sungai.
“Polis turut membawa anjing pengesan Unit K9 Johor Bahru yang tiba pada pukul 11 malam bagi membantu pencarian di darat sehingga pukul 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Shuhada berkata, ketika kenderaan mangsa dinaikkan, pasukan penyelamat tidak menjumpai barang peribadi lelaki itu termasuk telefon atau dompet kecuali topi anaknya.
Semalam, Kosmo! melaporkan kehilangan pempengaruh permotoran sejak Isnin lalu menjadi teka-teki apabila kereta Perodua Axia dipandu lelaki itu dari Johor Bahru ditemukan dalam sungai di Bukit Kepong. Namun mangsa masih gagal dikesan sehingga hari ini.-KOSMO! ONLINE