fbpx

ATMC 2025 kukuhkan komitmen ASEAN lengkapkan tenaga kerja berkemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahman (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid (dua kanan) semasa gimik pelancaran ATMC 2025 di ibu negara semalam.

PETALING JAYA – Persidangan Pasaran Latihan ASEAN 2025 (ATMC) yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam mencerminkan komitmen kukuh rantau ini dalam memperkasa tenaga kerja serantau dengan kemahiran masa hadapan, seiring transformasi ekonomi pesat.

Anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), persidangan itu menghimpunkan lebih 600 peserta terdiri daripada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa, penggubal dasar, majikan serta wakil organisasi dari seluruh ASEAN.

HRD Corp dalam kenyataan berkata, ATMC 2025 merupakan satu daripada tujuh inisiatif berimpak tinggi di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN 2025, sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menekankan keperluan memperkukuh ekosistem penyedia latihan dan tenaga pengajar bagi menjamin daya saing tenaga kerja ASEAN.

“Di seluruh ASEAN, kita sedang menyaksikan kuasa gangguan daripada automasi, kecerdasan buatan, ekonomi digital dan peralihan hijau. Semua ini sedang mengubah industri, menggugat peranan pekerjaan sedia ada dan mentakrif semula kemahiran yang perlu dimiliki rakyat kita untuk terus maju.

“Untuk mentransformasikan ekonomi, kita mesti mengubah cara kita melatih bakat. Malaysia berbangga untuk menerajui agenda ini di bawah Kepengerusian ASEAN, bagi memastikan sistem latihan kita kekal relevan kepada industri, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurut kenyataan HRD Corp, dengan tema “Memperkasa Pembekalan Latihan ASEAN: Merapatkan Jurang Kemahiran, Inovasi dan Kerjasama untuk Ekonomi Masa Hadapan”, ATMC memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti penyedia latihan dan menangani ketidakpadanan kemahiran.

Selain itu, ia juga memberi fokus dalam memperluas akses pembelajaran, serta mengetengahkan inovasi sistem latihan.

Antara tokoh serantau yang hadir berkongsi pandangan ialah Pakar Strategi Pembelajaran dan Pembangunan untuk Tenaga Kerja Berasaskan AI, Dr. Markus Bernhardt, Ketua Program Universiti dan Tanggungjawab Sosial Korporat IBM Asia Pasifik, Yue Yean Feng serta Pakar Kemahiran dan Kebolehkerjaan dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Mary Kent.

Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, ATMC bukan sahaja bertujuan memperkukuh pembekalan latihan di Malaysia, tetapi juga untuk membina ekosistem serantau yang saling menyokong pertumbuhan ASEAN.

“Kami berasa bangga dapat menampilkan pelbagai inovasi serantau dan perkongsian rentas negara dalam program hari ini.

“Kerjasama dan jalinan yang terbentuk di sini akan memastikan tenaga kerja kita kekal berdaya saing, mudah menyesuaikan diri dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan global.

“Bersama-sama, kita mampu meningkatkan kualiti dan capaian pasaran latihan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI