fbpx
AHMAD SOLEH merupakan pelajar MRSM Kuantan, Pahang.

Ahmad Soleh ungguli subjek B. Inggeris dan Matematik IGCSE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK jarum jam di dinding menunjukkan tepat pukul 2 petang, Ahmad Soleh Muhaimi Saifuddin memberanikan diri membuka laman web keputusan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Hari tersebut merupakan detik penting bagi ribuan pelajar di seluruh dunia apabila keputusan peperiksaan bertaraf antarabangsa itu diumumkan secara rasmi.

Saat keputusan terpapar di skrin, remaja berusia 17 tahun itu terpaku saat melihat namanya berjaya meraih markah penuh dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang itu menyemak keputusan tersebut berulang kali kerana bimbang jika matanya tersalah lihat.

Namun setelah dipastikan, anak jati Kota Bharu, Kelantan itu terus melakukan sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada Tuhan di atas kejayaan tersebut.

Ahmad Soleh mengakui, dia telah menjangka akan mendapat markah penuh dalam Matematik, namun langsung tidak menyangka bahawa subjek Bahasa Inggeris juga memperoleh keputusan sama.

“Untuk Matematik, memang saya boleh rasa ada kemungkinan akan dapat markah penuh kerana jawapannya lebih berpaksikan logik dan rumus yang tetap.

“Tapi untuk Bahasa Inggeris itu memang saya tak jangka sebab penilaiannya lebih subjektif serta bergantung kepada gaya penulisan dan tafsiran pemeriksa,” katanya kepada K-Remaja.

Ahmad Soleh merupakan salah seorang daripada 45 pelajar Malaysia yang menerima Cambridge Outstanding Learner Awards bagi kategori Top in the World pada tahun ini.

Anugerah tersebut diberikan kepada pelajar yang memperoleh markah tertinggi di dunia bagi subjek tertentu dalam peperiksaan Cambridge IGCSE, Advanced Subsidiary Level (AS) dan Advanced Level (A Level).

Majlis berprestij itu telah dianjurkan oleh Cambridge Assessment International Education, dan anugerah disampaikan dalam satu majlis khas di Sunway University, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Anugerah tersebut memberi kelebihan besar kepada pelajar untuk permohonan ke universiti-universiti terkemuka di peringkat global termasuk institusi elit seperti Ivy League dan Oxbridge.

Sijil IGCSE juga boleh meningkatkan peluang pelajar untuk diterima masuk ke program-program kompetitif serta memohon biasiswa. Hal ini kerana peperiksaan itu mencerminkan tahap kecemerlangan dan potensi pelajar yang tinggi.

Mengulas rahsia di sebalik kejayaannya dalam peperiksaan IGCSE, Ahmad Soleh mengakui dia banyak bergantung kepada bimbingan guru-guru di MRSM.

Anak kepada pasangan Muhaimi Saifuddin Mohamad Salleh yang berkhidmat sebagai pensyarah Teaching English as a Second Language (TESL), dan Maslinda Mohd. Noor, guru Malaysian

University English Test (MUET) itu juga sentiasa berusaha belajar sendiri dengan memanfaatkan sumber dalam talian sebagai bahan rujukan tambahan.

Untuk mendalami format peperiksaan, anak kedua daripada tiga beradik itu mempelajari teknik menjawab soalan IGCSE daripada guru-guru berpengalaman dan mengadakan sesi ulang kaji bersama rakan-rakan.

“Tak ada rahsia besar pun di sebalik pencapaian saya ini. Saya rasa kalau kita buat ulang kaji dari awal, jangan tunggu saat akhir dan belajar sedikit demi sedikit, insya-Allah boleh berjaya.

“Saya tak ambil tuisyen tambahan, sebaliknya belajar sendiri di rumah atau dengan cikgu-cikgu di sekolah.

“Saya juga tidak mengamalkan diet tertentu seperti makan kismis untuk peperiksaan.

“Paling penting, saya memang jaga solat, buat solat sunat dan banyak berdoa. Setiap kali selepas solat, saya akan doa minta supaya berjaya,” katanya.

Namun, Ahmad Soleh tidak terlepas daripada cabaran terutamanya dalam mengurus masa antara akademik dan jawatan kepimpinan yang disandangnya di MRSM.

Tambahan pula, peperiksaan IGCSE berlangsung pada bulan Oktober, dan ketika itu dia masih memegang jawatan dalam Ahli Badan Wakil Pelajar (BWP) maktab bagi sesi 2024/2025.

Sebagai Exco Akademik dan Inovasi, dia belajar mengatur masa dengan lebih baik hasil bimbingan presiden pelajar.

Guru dan rakan turut menjadi sistem sokongan yang banyak membantu sepanjang tempoh tersebut.

Menyentuh mengenai minatnya terhadap Matematik, Ahmad Soleh berkata, ia adalah hasil dorongan daripada ibunya yang memperkenalkan permainan abakus dan buku asas subjek itu.

Dia juga menggemari seni dalam ‘penulisan’ Matematik terutamanya struktur jawapan yang teratur dan penyelesaian masalah secara logik.

AHMAD SOLEH mendapat sijil penghargaan selepas meraih markah penuh bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris dalam IGCSE.

Antara topik yang paling diminati oleh Ahmad Soleh adalah integration (integrasi) dan differentiation (perbezaan) dalam Matematik Tambahan.

“Saya suka aspek penyelesaian masalah dalam matematik. Jadi sejak sekolah rendah lagi, saya aktif menyertai pertandingan seperti Kangaroo Maths.

“Di peringkat MRSM, saya telah dua kali mewakili sekolah dalam Mathematics Supreme League dengan pencapaian di tempat kedua dalam pertandingan berpasukan seperti Class Risk Calculator

dan kategori Olympiad,” jelasnya.

Selain cemerlang dalam Matematik, penguasaan Bahasa Inggeris Ahmad Soleh juga menyerlah hasil pendedahan awal di rumah serta penggunaan bahasa itu dalam kehidupan harian.

Sejak kecil, dia gemar membaca bahan bacaan bukan fiksyen dan menonton dokumentari, sekali gus memperkayakan pemahamannya dalam bahasa tersebut.

Ahmad Soleh turut memanfaatkan teknologi secara bijak dengan mengikuti kandungan TikTok dan YouTube berbahasa Inggeris.

“Penambahan kosa kata berlaku secara semula jadi melalui kandungan dalam talian, bukan semata-mata daripada pembelajaran di dalam kelas.

“Saya bukan seorang yang cenderung kepada karya fiksyen atau novel, malah lebih tertarik kepada fakta dan ilmu nyata,” katanya.

Mengulas mengenai cita-cita, Ahmad Soleh memaklumkan, dia berhasrat bergelar jurutera bioperubatan.

Hal ini kerana dia sangat tertarik dengan aspek pengubahsuaian genetik, penyuntingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan penciptaan organisma hibrid.

Katanya, bidang tersebut merupakan satu gabungan antara sains dan imaginasi seni.

Selain itu, Ahmad Soleh turut menunjukkan minat dalam pengajian agama dan mitologi. Dia juga melihat potensi untuk menggabungkan bidang sains dengan kepercayaan budaya dan nilai spiritual.

Bagi mencapai cita-citanya itu, Ahmad Soleh menetapkan sasaran untuk memperoleh semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berazam melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Antara institusi sasarannya adalah Universiti Cambridge, selain Oxford dan Imperial College London.

“Saya belum pernah ke luar negara. Itu menjadi motivasi terkuat saya untuk mendapat tempat dan biasiswa di luar negara.

“Saya berharap pencapaian cemerlang dalam IGCSE serta minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi akan membantu saya menyambung pengajian di luar negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN