PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dipersembahkan taklimat mengenai lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Russia pada Ogos tahun ini.
Taklimat hampir sejam itu dipersembahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohd Zin.
Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, taklimat itu berlangsung pada sesi mengadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini.
“Hadir sama Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl M Latypov; Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Datuk Yubazlan Yusof,” kata laman Facebook tersebut hari ini.
Kata Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli dan Setiausaha Bahagian Eropah Kementerian Luar Negeri, Abu Bakar Mamat turut hadir taklimat tersebut.
“Turut hadir Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini,” kata laman Facebook berkenaan. – KOSMO! ONLINE