SERDANG – Disangka rumah kediaman biasa, rupa-rupanya tiga unit pangsapuri di Pusat Bandar Putra Permai di sini menjadi pusat operasi judi dalam talian aktif dan licik, lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) serta pekerja tetap.
Lebih mengejutkan, kegiatan itu dipercayai didalangi warga tempatan, namun menyasarkan pelanggan dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) yang menetap di kawasan berkenaan.
Penemuan itu terbongkar hasil operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen (JIM) bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di empat blok pangsapuri empat tingkat, bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, premis perjudian yang dikesan beroperasi dari unit kediaman biasa itu dikesan menggunakan pekerja asing sebagai operator dan menyasarkan pelanggan warga asing.
“Berdasarkan semakan bil utiliti, premis itu dipercayai dimiliki warga tempatan namun dijalankan oleh warga asing.
“Kegiatan ini akan dirujuk kepada MBSJ untuk siasatan lanjut dari segi perlesenan dan penggunaan premis kediaman bagi tujuan komersial,” katanya pada sidang akhbar seleps operasi berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata, pada operasi berkenaan seramai 741 warga asing diperiksa, manakala 496 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua yang ditahan berumur antara dua bulan hingga 60 tahun. Mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih untuk siasatan lanjut dan semakan dokumen.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen sah, langgar syarat pas serta memiliki dokumen tidak diiktiraf,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan.
Menurut Jafri, kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sementara itu, Jafri turut memaklumkan bahawa Imigresen kini sedang melaksanakan Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang membolehkan PATI pulang ke negara asal dengan bayaran RM520 sahaja merangkumi denda RM500 dan pas khas RM20.
“Program ini berjalan dari 19 Mei hingga 30 April 2026. Di Selangor, lokasi PRM ini adalah di Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai dan majikan agar tidak melindungi, menggajikan atau menyewakan premis kepada warga asing tanpa dokumen, kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE