fbpx

‘Terasa sikit orang cakap kita gemuk, jadi kita kuruslah buang 7kg’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kritikan orang sekeliling yang menegurnya semakin berisi membuatkan Alya termotivasi untuk menguruskan badan.

JOHOR BAHRU – Sering ditegur bentuk tubuh semakin berisi, pelakon Alya Iman kini giat menghabiskan masa di gimnasium sehingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 7 kilogram (kg) dalam tempoh tiga minggu.

Disebabkan mempunyai masa terluang Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 24, dapat memberi fokus kepada penjagaan fizikal selepas sibuk dengan jadual kerja yang padat.

“Dari 70kg ke 63kg dalam masa tiga minggu. Dalam seminggu empat hari saya akan pergi ke gimnasium.

“Sebelum ini saya ‘back to back’, tiada masa atau hari cuti. Jadi, nak pergi ke gimnasium susah.

“Kali ini, saya cuti panjang dalam tiga minggu jadi saya ambil peluang ini luangkan masa di gimnasium,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berkongsi lanjut, anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha itu tidak menafikan kritikan mengenai bentuk tubuhnya sebelum ini memberi impak sekali gus mendorongnya untuk berubah.

“Ada lah terasa sikit orang cakap kita gemuk, jadi kita kuruslah.

“Taklah baca komen, kadang-kadang orang cakap dekat kita tapi saya okey saja. Bagi saya tiada apa pun.

“Kita tidak boleh kawal apa orang nak cakap, itu yang memotivasikan saya,” katanya lagi.

Meskipun sibuk di gimnasium, Alya mengakui tidak terlalu mengawal diet secara ketat sebaliknya mengamalkan kaedah kawalan pengambilan makanan.

“Saya makan saja, orang cakap potong nasi atau karbohidrat tapi tak jalan untuk saya.

“Kalau kawal pun badan saya masih perlukan kelebihan makanan. Saya pun tak potong gula, asalkan saya kawal pengambilan makanan,” ujarnya pada acara Superstar Tour Anugerah Melodi Terhangat 2025 ke Johor Bahru baru-baru ini.

Dia juga memaklumkan mengambil jurulatih peribadi bagi membantunya sepanjang proses menurunkan berat badan.

Bercakap mengenai Anugerah Melodi Terhangat, Alya tercalon dalam dua kategori iaitu Selebriti Trending Terhangat dan Selebriti Newcomer Terhangat.

Anugerah berprestij tersebut akan berlangsung pada 3 Ogos depan secara langsung di TV3 dan secara strim eksklusif menerusi Tonton. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI