SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi membongkar sindiket penyeludupan sisa elektronik (e-waste) dipercayai untuk dieksport ke negara India dan China selepas menyerbu dua premis di Perai dan Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Operasi Ops Metal bermula pukul 9 pagi itu melibatkan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Multi Agency Task Force (MATF) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi tersebut mendapati seramai lebih 10 pekerja dilihat berada dalam keadaan terkedu sebaik Skuad Taktikal Anti Rasuah (ACTS) SPRM menerjah masuk ke premis berkenaan.
Kesemua mereka dikumpulkan di luar premis bagi tujuan siasatan dijalankan, namun, tiada sebarang tangkapan dilakukan selepas kesemua mereka termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) selesai diambil keterangan.
Kosmo! difahamkan, sindiket terbabit dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport mencecah ratusan juta ringgit.
Dalam pada itu, SPRM turut menyerbu dua lagi premis di Kedah dan Johor.
Setakat ini, tiada laporan berhubung jumlah sitaan barangan dilakukan di premis berkenaan.
Semalam, SPRM membongkar sindiket penyeludupan besi buruk ke negara India dan China selepas menyerbu 19 lokasi berasingan di lima negeri termasuk di Pulau Pinang menerusi Ops Metal.
Sindiket yang dipercayai didalangi warga tempatan dan asing itu dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta dalam tempoh enam tahun.
Serbuan turut dilakukan di sebuah rumah dipercayai milik lelaki bergelar Datuk, disyaki mempunyai kaitan sindiket penyeludupan besi buruk ke negara luar. – KOSMO! ONLINE