fbpx

Sisa e-waste lebih RM2.1 juta dirampas, 25 pekerja diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DZULKHAIRI menunjukkan barangan e-waste yang dirampas dalam serbuan di Bukit Rambai, Melaka. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

MELAKA – Sebanyak 300 jongkong aluminium bernilai lebih RM2.1 juta dirampas dalam serbuan di sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Dalam operasi kira-kira 11 pagi itu, seramai 25 pekerja termasuk warga China dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun turut dicekup.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan telah dilakukan oleh pasukan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka.

“Kita telah melakukan intipan selama seminggu dan mengesyaki kilang ini telah menjalankan aktiviti memproses e-waste sejak tiga hingga empat bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan kita merampas 300 jongkong aluminium seberat 300,000 kilogram bernilai RM2.1 juta dan bahan mentah lain iaitu barangan elektronik seperti alat kawalan jauh serta televisyen litar tertutup (CCTV) yang belum diproaes,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua sisa e-waste itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dilerai dan diproses di negeri ini sebelum dieksport semula.

SERAMAI 25 pekerja yang melakukan kegiatan memperoses sisa e-waste ditahan dalam serbuan di Bukit Rambai, Melaka. – Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

“Kita percaya sindiket ini mungkin ambil kesempatan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat transit sebelum kesemua sisa itu dieksport semula dipercayai ke China dan negara lain yang mempunyai permintaan.

“Seperti yang kita tahu, negara-negara maju tidak membenarkan aktiviti seperti ini dijalankan di negara mereka kerana risiko terhadap alam sekitar dan kesihatan,” ujarnya.

Kata Dzulkhairi, siasatan lanjut sedang dilakukan membabitkan pemilik premis dan kemungkinan wujud rangkaian melibatkan syarikat lain. Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI