GEORGE TOWN – Tindakan sindiket along yang sanggup membakar rumah mangsa sebagai amaran akhirnya membawa padah apabila dua lelaki tempatan ditahan polis dalam serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang.
Perbuatan khianat dengan api pada 24 Jun lalu di Tasek Gelugor menyaksikan tiga buah rumah teres dua tingkat hangus dijilat api, manakala lima motosikal dan empat kereta turut rosak dalam insiden itu. Kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan kedua-dua suspek dilakukan pada 3 Julai lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang selepas pihaknya menjejaki suspek yang turut terlibat dalam kes simbah cat di Tanjung Tokong, pada 30 Jun.
“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an mengaku terlibat dalam kejadian khianat dengan api serta lima kes simbah cat berkaitan pinjaman wang tidak berlesen.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mereka termasuk sebuah motosikal Yamaha Y16Z, sport rim, topi keledar, telefon bimbit serta pakaian dan beg silang,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang menjadi mangsa gangguan atau ugutan daripada sindiket along agar tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil. – KOSMO! ONLINE