fbpx

Sempat ajar syahadah rakan maut dihempap kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HAIREY menunjukkan gambar arwah Allahyarham Muhammad Azam.

PONTIAN – Seorang remaja menemui ajal apabila maut dihempap pokok kelapa sawit reput ketika berehat di atas jambatan dalam kejadian di Kampung Parit Wak Katek Puteri, Sanglang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Azam Asmawei, 14, disahkan meninggal dunia di tempat kecederaan selepas mengalami kecederaan pada anggota badan dan kepala.

Menurut ibu mangsa, Nazihah Mahtar, 43, anak bongsu tiga beradik itu keluar rumah selepas waktu subuh untuk mengikuti rakannya, Muhammad Hairey Rosli, 18, yang melakukan kerja-kerja mengali tali air berhampiran kebun kelapa sawit tersebut.

“Selepas solat subuh, arwah bersiap awal, berpakaian kemas dan cantik serta memakai bau-bauan hanya untuk mengikut kawan baiknya, Muhammad Hairey untuk membersihkan tali air.

“Saya mengizinkannya sebab ini kali kedua dia keluar ikut kawan dia buat kerja-kerja itu, tak lama kemudian saya dapat berita yang Muhammad Azam dihempap pokok kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pontian, di sini petang ini.

Sementara itu, berkongsi detik tragedi itu, Muhammad Hairey berkata, sebelum kejadian dia meminta Azam supaya berhati-hati kerana pokok kelapa sawit tempat dia berehat di atas jambatan sudah kelihatan reput.

Jelasnya, tidak lama kemudian, tiba-tiba pokok kelapa sawit terbabit tumbang dan menghempap Muhammad Azam dari arah belakang.

“Dia terus rebah dan saya menjerit meminta tolong dari orang kampung sambil saya memeluknya, arwah masih bernafas dan saya sempat ajar dia mengucap dua kalimah syahadah, lepas itu Azam telah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan kejadian itu. Mangsa disahkan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Benut.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bunian pada malam ini.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI