KUALA LUMPUR – Dikurniakan anugerah terindah, penyanyi dan pelakon Indonesia Bunga Citra Lestari (BCL) menganggap dirinya bertuah mempunyai tiga ibu bapa termasuk orang tua Allahyarham Ashraf Sinclair.
Bunga, 42, mengakui hubungan baik dengan keluarga arwah suaminya itu kekal utuh hingga ke hari ini dan mereka menerima kehadiran teman hidup baharunya, Tiko Aryawardhana umpama darah daging sendiri.
“Saya tidak hanya menikahi Ashraf, mencintai Ashraf tapi saya mencintai keluarganya. Mereka baik sekali, selalu sokong, bahkan sekaramg menyokong dan menerima Tiko serta seluruh keluarganya.
“Kalau dilihat ketika perkahwinan kami di Bali, saya seperti ada tiga ibu bapa sekarang. Ada ibu bapa saya, ibu bapa Ashraf dan ibu bapa Tiko. Jadi semuanya jadi satu.
“Kami seperti sebuah keluarga besar, sesuatu yang mungkin bukan semua orang dapat rasa. Sangat indah, alhamdulillah,” katanya selepas pengumuman konsert BCL: Eternal Love Timeless Romance di Hotel Imperial Lexis, di sini, semalam.
Menurut penyanyi yang mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Tiko juga pegawai kewangan itu tahun lalu, keharmonian tersebut dibina atas pengertian dan kematangan semua pihak.
“Dan itu mungkin adalah kerana hubungannya semua sudah dibangun dari awal dengan baik, pengertiannya baik, apatah lagi semuanya dewasa.
“Tidak ada cemburu, tiada iri hati kerana yang wujud hanya bagaimana caranya kita saling memberi serta menyokong satu sama lain.
Terdahulu, BCL berkahwin dengan pengacara dan aktor dari Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 15 tahun.
Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung.
Mengenai konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September depan, katanya konsert itu bersifat lebih intim selain membawa penceritaan hidup serta perjalanan cintanya.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan. Saya mahu setiap lirik memberi makna kepada penonton kerana Malaysia sentiasa dekat di hati saya dengan pilihan seleksi lagu seperti Cinta Sejati, 12 Tahun Terindah dan Memulai Kembali,” katanya.
Dibawakan Pulse Project Asia, persembahan mega itu turut menampilkan Jaclyn Victor dan Dennis Lau sebagai artis undangan. – KOSMO! ONLINE