fbpx

Rai empat dekad, Sheila Majid di Axiata Arena November depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheila bakal mengadakan konsert mega di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November depan. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Lebih empat dekad bergelar penghibur, penyanyi Datuk Sheila Majid bakal menghadiahkan peminat setianya konsert solo Sheila Majid 40 Years in Music yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November depan.

Menurut Sheila atau nama penuhnya Shaheila Abdul Majid, 60, konsert anjuran Altus Prohouse tersebut bagi meraikan penglibatannya dalam dunia nyanyian selama 40 tahun dan hadiah istimewa buat peminat setia.

“Konsert ini satu penanda aras baharu untuk kerjaya seni selama 40 tahun. Bukan tempoh singkat namun saya bersyukur masih diterima dan memiliki peminat yang masih setia memberi sokongan.

Sheila Majid 40 Years in Music ini juga ‘tribute’ kepada ramai individu yang berada di belakang saya sehingga nama Sheila Majid itu masih diterima dan dikenali oleh generasi hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Sheila teruja untuk membuat persembahan berskala besar buat kali pertama di Axiata Arena.

“Saya nak berikan yang terbaik kepada peminat. Ini kali pertama saya mengadakan konsert di Axiata Arena, sebelum ini di Stadium Negara, Stadium Merdeka dan Pusat Dagangan Dunia (WTC), memang tak sabar menanti apa yang akan berlaku.

“Pengisian, konsep termasuk semua kejutan pada konsert hanya akan didedahkan pada hari itu.

“Bukan tak mahu kongsi lebih tetapi risau ada pihak meniru terutama pada zaman serba canggih dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI),” ujarnya.

Ditanya sama ada bakal menjemput mana-mana penyanyi lain pada konsert solonya, dia masih belum memikirkan soal tersebut.

“Sehingga hari ini kami pecah kepala untuk pilih lagu dan buat masa sekarang saya tak terfikir tentang penyanyi jemputan atau segmen tribute untuk artis lain.

“Itu adalah malam meraikan 40 tahun saya bergelar anak seni, jadi semuanya akan fokus kepada kerjaya dan lagu-lagu saya,” jelasnya.

Kali terakhir Sheila mengadakan konsert berskala besar adalah menerusi konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di WTC pada 18 Mac 2023.

Peminat mendapatkan tiket bermula 17 Julai ini dengan harga RM268 (Cat 4), RM368 (Cat 3), RM468 (Cat 2), RM568 (Cat 1), RM668 (VIP), RM768 (VVIP) dan RM3,400 (Party Zone) menerusi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI