TOULOUSE – Bintang UAE Team Emirates-XRG, Tadej Pogacar berdepan tekanan terutama serangan bertubi-tubi daripada barisan pelumba Visma-Lease a Bike di Peringkat 10 Tour de France (TdF) untuk menyekat percubaannya menguasai perlumbaan.
Pelumba Slovenia itu mendedahkan, gangguan berterusan daripada Visma terutamanya menerusi Matteo Jorgenson dalam 10 kilometer (km) terakhir.
Pogacar, 26, bijak mencari ruang untuk membuat serangan penuh taktikal yang hanya mampu diikuti seterunya seorang lagi pelumba Visma, Jonas Vingegaard.
Bagaimanapun, tindakan Visma menjejaskan misi Pogacar dan terlepas mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan apabila pelumba EF Education-EasyPost, Ben Healy berjaya mengumpul kelebihan masa mencukupi dalam kelompok break away.
“Sudah tentu bukan mudah untuk kehilangan jersi kuning. Namun, kami kehilangan Joao (Almeida) semalam dan Pavel (Sivakov) masih lagi dalam proses pemulihan.
“Matlamat kami bukan untuk membiarkan Visma menyerang sesuka hati atau hanya bertahan, sebaliknya kami berjaya mengawal keadaan. Sekarang adalah hari rehat dan bagus juga saya tidak lagi memakai jersi kuning,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perlumbaan Visma, Grischa Niermann mengakui mereka masih belum memiliki kekuatan untuk melemahkan Pogacar yang juga juara dunia.
“Pasukan UAE lakukan tugas sangat baik kerana ia bukan hari yang mudah. Mereka mengawal perlumbaan dengan cemerlang walaupun mereka kehilangan Joao. Pada akhirnya, saya fikir kami berjaya mengasingkan Tadej (Pogacar),” katanya.
Ketegangan antara pasukan UAE dan Visma dijangka menjadi tumpuan sepanjang minggu kedua dan ketiga perlumbaan terutama cabaran di pendakian di Pyrenees, Alps dan Mont Ventoux. – AGENSI