PETALING JAYA – Impian skuad bawah 23 (B-23) negara untuk memulakan kempen Piala Asean B-23 2025 dengan langkah kanan tidak kesampaian selepas tewas mengejut 0-2 kepada Filipina pada aksi pertama Kumpulan A sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu, skuad muda Harimau Malaya kendalian Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dibarisi oleh Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan dan Haqimi Azim Rosli.
Namun, pasukan The Azklas yang sebahagian besar diwakili pasukan bertaraf ‘universiti’ terlebih dahulu mengejutkan kubu negara menerusi penyudah Otu Bisong seawal minit ke-9 hasil serangan balas pantas.
Bisong menggandakan kelebihan jaringan sebelum berakhir babak pertama selepas benteng pertahanan negara ‘agak leka sehingga memudahkan penyerang pasukan Old Dominion University berada dalam kedudukan satu lawan satu.
Bersambung pada babak kedua, skuad negara cuba untuk mengasak tetapi ketumpulan jentera serangan dilihat mensia-siakan banyak peluang yang terhidang selain benteng pertahanan lawan juga kebal hingga wisel penamat ditiupkan.
Kekalahan itu menyukarkan sedikit harapan skuad negara untuk lolos ke peringkat separuh akhir kerana hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik yang akan meraih slot automatik.
Selepas aksi bertemu Filipina, skuad B-23 negara akan fokus bertemu Brunei pada Jumaat ini sebelum menentang ujian getir berdepan tuan rumah, Garuda Muda di venue yang sama pada 21 Julai depan. – KOSMO! ONLINE