PERENANG remaja sensasi negara, Muhammad Dhuha Zulfikry membuat keputusan berani dengan mengetepikan Kejohanan Dunia di Singapura bagi memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Renang Remaja Dunia di Otopeni, Romania bulan depan.
Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama ketua jurulatihnya, Eric Anderson yang melihat peluang lebih seimbang buat atlet muda berusia 17 tahun itu di kejohanan remaja berbanding saingan senior.
“Jurulatih cadangkan saya fokus kepada Kejohanan Remaja Dunia sebab tarikh terlalu dekat dengan kejohanan senior.
“Saya pun rasa susah nak pilih Kejohanan Dunia atau Remaja sebab jadual terlalu padat. Jadi kami buat keputusan untuk pilih satu saja,” kata Dhuha ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024 di Hotel Sunway semalam.
Dhuha yang dinobatkan sebagai Atlet Muda Terbaik SAM 2024 kini mengalihkan fokusnya ke Romania dengan misi jelas untuk memburu tempat ke peringkat akhir dan mencipta kejutan di pentas remaja dunia.
“Sasaran saya masuk final dulu, kemudian saya akan kerja keras untuk kejar pingat pada aksi akhir di Kejohanan Dunia Remaja,” katanya.
Perenang kelahiran Kuching, Sarawak itu dijangka menyertai empat acara gaya bebas 200 meter (m), 400m, 800m dan 1,500m yang memberi ruang terbuka kepadanya untuk menyerlah berdasarkan prestasi semasanya.
Dhuha mula mencuri perhatian selepas mencipta sensasi di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak apabila merangkul enam pingat emas dan dua perak selain turut memecahkan empat rekod kejohanan sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.
Berdasarkan rekod konsisten dan prestasi yang semakin meningkat, Dhuha kini muncul antara prospek terbaik renang Malaysia menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan. – KOSMO! ONLINE