fbpx

Perarakan Majlis Peguam tidak lebih hanya drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puad mendakwa Perhimpunan Peguam hanya drama semata-mata.

PETALING JAYA – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Puad Zarkashi menyifatkan perarakan “Walk of Justice” anjuran Majlis Peguam semalam tidak lebih sekadar satu drama dan gimik politik.

Menurut beliau, Majlis Peguam tidak konsisten dalam memperjuangkan isu perundangan dan kehakiman, sebaliknya dilihat semakin bersifat partisan dan berat sebelah.

“Ini bukan kali pertama mereka berarak kononnya atas nama keadilan. Tapi apa yang mereka perjuangkan sangat selektif.

“Tindakan berarak dan menjerit di jalan raya bukan imej yang sepatutnya ditonjolkan oleh pengamal undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Puad berkata, daripada terus berdemonstrasi, adalah lebih baik Majlis Peguam mengadakan dialog dengan kerajaan atau berjumpa ahli Parlimen supaya isu dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Mereka tuntut reformasi institusi kehakiman, tapi pendekatan mereka tidak pernah berubah sejak dahulu. Cara mereka tetap sama, penuh persepsi dan emosi,” ujarnya.

Tambah beliau, jika benar Majlis Peguam mahu keadilan ditegakkan, mereka sepatutnya menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang lebih menyeluruh, bukan hanya fokus terhadap isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara.

“Mereka patut juga mendesak supaya dakwaan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli berkaitan perbicaraan tidak adil dalam kes Datuk Seri Najib Razak disiasat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kehadiran bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam perarakan tersebut.

“Pernahkah Majlis Peguam berarak atau keluarkan kenyataan apabila Tommy Thomas dalam memoirnya sendiri dedahkan bahawa pelantikan Tun Maimun penuh kontroversi?

“Kenapa masa itu mereka senyap?” soal beliau.

Puad turut menyindir kehadiran Nurul Izzah Anwar dalam perarakan tersebut yang disifatkan sekadar “drama politik”.

“Lebih baik Nurul Izzah berterus terang di perarakan itu bahawa dia membantah tindakan ayahnya sendiri. Kalau benar dia berprinsip, dia patut letak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI