KANGAR – Seorang penjawat awam dan pesara direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000 bagi meluluskan permit ubah suai rumah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM negeri.
“Suspek wanita dan lelaki masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 60-an itu dipercayai bersubahat menerima wang suapan daripada pemohon-pemohon sebagai balasan memudahkan urusan kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri ini.
“Perbuatan itu disyaki berlaku dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024,” katanya.
Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan pesara didakwa menerima bayaran antara RM300 hingga RM9,000 secara berperingkat daripada beberapa pemohon.
“Kesemua wang rasuah itu dikatakan dimasukkan terus ke dalam akaun bank peribadi suspek lelaki berkenaan.
“Kira-kira 200 transaksi dengan nilai keseluruhan bagi tempoh tersebut dianggarkan sebanyak RM70,000,” ujarnya.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar hari ini bagi membantu siasatan.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Nor Adha Ab. Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE