SHAH ALAM – Seorang pemuda warga asing direman empat hari bagi membantu siasatan kes menyerang dan mengelar bekas kekasihnya di sebuah universiti swasta di Subang Jaya dekat sini, semalam.
Perintah reman ke atas suspek berusia 21 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Permohonan reman itu dikemukakan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes berkenan disiasat mengikut Seksyen324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang penuntut wanita warga asing cedera selepas diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau.
Siasatan awal mendapati wanita asing berusia 20 tahun itu cedera dikelar di leher selepas diserang suspek yang juga warga asing. – KOSMO! ONLINE