NEW DELHI – Fauja Singh dari India, yang dipercayai pelari jarak jauh tertua dunia, menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan jalan raya pada usia 114 tahun, kata penulis biografinya hari ini.
Warganegara Britain kelahiran India digelar ‘Turbaned Tornado’ itu meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan di daerah Jalandhar, negeri Punjab semalam.
“Turbaned Tornado saya tiada lagi,” tulis penulis biografi Fauja, Khushwant Singh di laman X.
“Dia dilanggar kenderaan tidak dikenali di kampungnya, Bias ketika melintas jalan. Bersemadilah dengan tenang, Fauja,” tambahnya.
Fauja tidak mempunyai sijil kelahiran tetapi keluarganya berkata, dia lahir pada 1 April 1911.
Fauja berlari maraton penuh (42 kilometer) sehingga usianya mencecah 100 tahun.
Perlumbaan terakhirnya ialah pada acara 10 kilometer di Maraton Hong Kong 2013 ketika berusia 101 tahun, di mana dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa satu jam, 32 minit dan 28 saat.
Fauja menjadi sensasi antarabangsa selepas menceburi larian jarak jauh pada usia 89 tahun, selepas kematian isteri dan salah seorang anak lelakinya. Dia mendapat inspirasi selepas menonton filem berkenaan maraton di kaca televisyen.
Walaupun dianggap pelari maraton tertua di dunia, Fauja tidak diperakui oleh Guinness World Records kerana tidak dapat membuktikan usianya. Mendiang pernah berkata, sijil kelahiran tidak wujud ketika dia dilahirkan di bawah pemerintahan kolonial British pada 1911.
Fauja juga ialah pembawa obor untuk Sukan Olimpik di Athens 2004 dan London 2012. Dia muncul dalam iklan bersama bintang sukan seperti David Beckham dan Muhammad Ali.
Kekuatan dan kecergasan Fauja dikaitkan dengan rutin berjalan di ladang dan diet termasuk manisan India, laddu yang sarat dengan buah-buahan kering dan dadih buatan sendiri. – AFP