PETALING JAYA – Usaha berterusan kerajaan memperkasa integriti dan memperkukuh tadbir urus mula membuahkan hasil apabila Malaysia mencatat peningkatan membanggakan dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 dengan melonjak 11 anak tangga, daripada kedudukan ke-34 pada tahun lalu kepada tangga ke-23 tahun ini.
Perkembangan positif itu diumumkan menerusi kenyataan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), susulan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI Siri 3 Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya hari ini.
Jelasnya, antara faktor penyumbang utama kepada pencapaian tersebut ialah peningkatan ketara dalam indikator sogokan dan rasuah, yang melonjak sebanyak 12 anak tangga dalam laporan berkenaan.
“Mesyuarat turut menekankan strategi pembaharuan baharu yang akan terus diberi keutamaan, termasuk pembudayaan nilai integriti serta adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikenal pasti sebagai contoh teladan (role model) yang akan dijadikan rujukan untuk pelaksanaan inisiatif serupa di PBT lain,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) digesa memperhebatkan sesi libat urus bersama pelabur serta komuniti perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).
Katanya, langkah itu bagi mengenal pasti isu berkaitan rasuah yang boleh menjejaskan prospek pelaburan dan keyakinan perniagaan dalam negara.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-Government approach) akan terus menjadi teras utama dalam memperkukuh integriti pentadbiran serta membina kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap sistem penyampaian awam.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan serta wakil pelbagai agensi kerajaan termasuk Transparency International Malaysia.
Turut serta ialah pakar-pakar profesional yang telah dilantik bagi membantu pelaksanaan inisiatif strategik CPI negara. – KOSMO! ONLINE