KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki etnik Rohingya ditahan selepas memandu kereta jenis Proton Saga FLX tanpa lesen di Jalan Syed Hussein berhampiran Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.
Lelaki asing itu ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Keselamatan Negara, MBKT dan Polis Diraja Malaysia.
Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, lelaki itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.
“Kita terima aduan ada warga asing yang memandu kereta tanpa lesen di bandar raya ini. Aduan itu dipandang serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan undang-undang. Tiada kompromi ke atas warga asing yang melanggar peraturan,” katanya hari ini.
Tambahnya, pihaknya menahan tujuh warga Bangladesh, Myanmar (tiga) dan Indonesia (seorang) berusia 22 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan.
“MBKT mengeluarkan tiga kompaun melibatkan kebersihan premis (dua) dan tiada lesen perniagaan (satu), selain dua notis kompun daripada KPDN,” katanya. – KOSMO! ONLINE