fbpx

Lelaki mengamuk libas parang ketika operasi roboh struktur haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif melibas parang dalam kejadian di Pandan Desa, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjalankan operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.17 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan datang secara tiba-tiba sambil memegang sebilah parang panjang sebelum bertindak membuat provokasi dan memaki hamun ke arah petugas DBKL.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ketika kejadian, sepasukan polis sedang menjalankan kawalan keselamatan bersama agensi-agensi lain antaranya Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor.

“Lelaki terbabit dilihat melibas parang di tangan kanannya dan menjerit ke arah petugas penguat kuasa. Lelaki tersebut telah ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan tersebut.

“Pihak polis kemudiannya merampas parang tersebut dan menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Mohamad Lazim turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan video kejadian yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian, orang awam boleh menyalurkannya ke Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI