KUALA LUMPUR – Kes saman antara Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) dan induknya Hydroshoppe Sdn. Bhd. (Hydroshoppe) terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan berhubung penamatan kontrak akan diteruskan dengan perbicaraan penuh.
Ia berikutan apabila mahkamah menolak permohonan Fahmi dan kerajaan untuk membatalkan saman itu.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan dalam kes saman tersebut.
“Pihak defendan pertama dan kedua (Fahmi dan kerajaan) telah mengemukakan alasan dan walaupun saya mungkin bersetuju dengan sebahagian daripadanya, mahkamah ini berpandangan bahawa kes terhadap defendan pertama dan kedua tidak boleh dibatalkan pada peringkat ini.
“Ini kerana terdapat isu-isu yang memerlukan perbicaraan terutamanya berkaitan perjanjian yang dicadangkan pada tahun 2022. Oleh itu, saya menolak permohonan pembatalan tuntutan (saman) oleh defendan pertama dan kedua, namun saya memerintahkan agar kos menjadi sebahagian daripada kausa,” kata hakim itu.
Pada prosiding sama, Hakim Roz Mawar turut membenarkan permohonan tiga syarikat yang turut dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman tersebut.
Menurut Hakim Roz Mawar, pliding yang dikemukakan terhadap kesemua syarikat itu adalah lemah, terlalu umum dan tidak mencukupi bagi tuntutan yang memerlukan pembuktian elemen yang spesifik.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes saman itu pada 3 November ini.
Pada Mac lalu, Hydroshoppe bersama anak syarikatnya MKLSB memfailkan saman terhadap Fahmi, Kerajaan Malaysia, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.
LSH Service Master adalah syarikat usaha sama antara LSH Best Builder dan Service Master yang dianugerahkan konsesi pengurusan menara tersebut menggantikan Hydroshoppe dan MKLSB.
Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman itu atas dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022 termasuk lanjutan konsesi syarikat terbabit daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
Selain tuntutan ganti rugi RM1 bilion, Hydroshoppe dan MKLSB turut memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Perjanjian 2022 sebagai masih sah dan mengikat kerajaan.
Syarikat-syarikat itu memohon supaya mahkamah memerintahkan bahawa mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022 dan bahawa kerajaan telah melakukan pecah amanah apabila memberikan kontrak kepada entiti lain.
Hydroshoppe dan MKLSB mahu mahkamah turut mengisytiharkan bahawa Perkhidmatan LSH dan syarikat induknya telah melakukan tort mendorong (inducement) dan memperolehi pelanggaran perjanjian 2022.
Mereka memohon pampasan daripada semua defendan untuk ganti rugi, termasuk kehilangan peluang perniagaan “untuk menikmati kontrak dan faedah komersial” daripada perjanjian konsesi.
Semasa prosiding, peguam Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe dan Menara Kuala Lumpur, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi, Fahmi dan kerajaan. – KOSMO! ONLINE