KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable (Kelantan WTS FC) membuat persiapan awal bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026 dengan menentang Nara United FC dari Narathiwat, Thailand dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat ini.
Pemilik Kelantan WTS FC, Wan Muhd. Ridhuan Wan Abdullah berkata, pasukan Kelantan WTS FC perlu manfaatkan aksi persahabatan itu dengan mencipta kemenangan dan pemain-pemain perlu menunjukkan aksi terbaik sebelum aksi Liga A1 Semi Pro.
Menurutnya, Nara United FC kini bersaing dalam Liga 3 Thailand dan merupakan pasukan handalan Selatan Thailand dengan dibarisi pemain import dari Brazil dan Jepun.
“Persiapan Kelantan WTS FC kini sudah mencapai tahap 100 peratus dengan disertai bekas pemain-pemain berpengalaman di pentas Liga Super.
“Nama-nama yang membarisi Kelantan WTS FC antaranya Wan Zaharulnizam Zakaria, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi, Muhamad Shahrul Hakim Rahim, Muhamad Syazwan Yusoff serta beberapa pemain berpengalaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Muhd. Ridhuan memberitahu, penyokong pasukan Nara United FC dari Selatan Thailand dijangka turut hadir.
Menurutnya, jualan tiket pada harga RM 10 untuk ruangan terbuka dan RM20 bagi kawasan astaka akan mula dijual di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE