MELAKA – Para guru di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang ditempatkan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) Tunas Istimewa akan dihantar mengikuti program di sekolah khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, langkah itu sebagai persediaan untuk membuka lebih banyak tabika khas pada tahun hadapan dengan sasaran sebuah Tabika Tunas Istimewa di setiap negeri.
Beliau berkata, para guru bukan sahaja didedahkan dengan teori, tetapi turut melibatkan kemahiran dalam mengendalikan anak-anak autisme.
“Berdasarkan pemerhatian saya di sekolah khas KPM, sosial murid (autisme) ini dapat dibentuk dalam masa enam ke tujuh bulan. Tujuan kita nak pastikan anak-anak ini mendapat peluang pendidikan, berdikari dan mengikuti pendidikan formal.
“Kita mendoakan kelas ini akan lebih berjaya dan cikgu lebih efektif supaya anak-anak ini dapat dibentuk dan membangkitkan potensi mereka. Kita juga tidak mahu apa-apa isu timbul dan masalah apabila kelas dibuka kelak,” katanya pada sidang akhbar Lawatan Kerja ke Tabika Kemas Hang Jebat di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE