PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap penyertaan ke Kejohanan Emerging Socceroos 2025 dan Emerging Matildas 2025 dapat memperkasa pendedahan kepada pemain-pemain muda negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman selaku Ketua Delegasi pasukan Malaysia di Sydney berkata, penghargaan dan ucapan terima kasih diberikan kepada Football Australia atas jemputan bagi menyertai saingan di peringkat akar umbi ini.
“Penyertaan skuad B-15 wanita kita dalam kejohanan berprestij ini bukan sahaja memberi peluang untuk mereka bersaing dengan pasukan terbaik rantau ini, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan mental dan karakter pemain di peringkat antarabangsa.
“FAM amat menghargai kerjasama erat dengan Football Australia dan kejohanan ini adalah platform yang tepat untuk kita menilai tahap semasa skuad muda kita, selain merancang pembangunan masa depan dengan lebih tersusun.
“Saya percaya pengalaman beraksi di Sydney ini akan menjadi kenangan berharga buat para pemain dan mendorong mereka untuk terus bekerja keras demi mengharumkan nama Malaysia pada masa hadapan,” kata Noor Azman.
Skuad Malayan Tigress B-15 kendalian Leila Chua telah tewas 0-1 kepada pasukan NSW NAVY pada pagi tadi dan akan bertemu pasukan Victoria White pada petang nanti. – KOSMO! ONLINE