fbpx

Dua pelajar UnIPSAS maut rempuh ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN kemalangan maut melibatkan dua pelajar UniPSAS di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Hidayah, Paya Besar di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah van ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Hidayah, Paya Besar di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.00 pagi itu, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakannya, Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila van ambulans swasta terbabit sedang membawa pesakit dari arah HTAA menuju ke Bukit Rangin.

“Ambulans itu membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan siren dihidupkan sebelum motosikal dinaiki kedua-dua pelajar datang dari arah Gambang dan melanggar bahagian sisi kenderaan tersebut.

“Pemandu dan pembantu ambulans, masing-masing berusia 49 dan 43 tahun turut cedera dan kini dirawat di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI