SERDANG – Polis mengesan seorang remaja perempuan warga China berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Seri Kembangan di sini sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Ji Taoye pada pukul 9.26 malam semalam.
Katanya, lokasi terakhir remaja itu dikesan di Astetika Residence.
“Remaja itu dipercayai keluar rumah pada pukul 7 malam hari sama dan tidak pulang sehingga kini.
“Maklumat awal mendapati mangsa tidak membawa dokumen pengenalan diri atau wang ketika keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ji Taoye berkulit cerah dengan ketinggian 150 sentimeter dan berat 45 kilogram. Kali terakhir remaja itu memakai baju-T putih dan seluar panjang warna biru cair.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Qurratu’aini Abu Hassan di talian 017-831 3834. – KOSMO! ONLINE