fbpx

Demi waktu, Ungu tak menghampakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT 29th Anniversary Symphony of Ungu hujung minggu lalu 'sold out' dengan kehadiran sekitar 2500 penonton memenuhi Dewan Plenari, KLCC.

INDIVIDU mana yang tidak pernah dibuai dengan karya-karya hebat kumpulan Ungu yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu. Sehingga kini, setiap dendangan masih menjadi siulan anak muda zaman sekarang.

Buktinya, Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi persembahan cemerlang kumpulan asal Jakarta itu menerusi konsert 29th Anniversary Symphony of Ungu dengan gema sorak ribuan penonton.

Tepat pukul 9 malam, pentas penuh prestij itu terlebih dahulu dibuka dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi muda Gretchene Quirina melantunkan tiga lagu iaitu Mangu, Sampai Menutup Mata dan Aku Bodoh.

Seketika kemudian, kemunculan kumpulan yang dianggotai lima anggota itu disambut teriakan peminat yang sudah lama kerinduan hiburan langsung daripada mereka.

Tampil sederhana, barisan lelaki rata-rata usia 40-an itu dan awal 50-an hanya mengenakan sepersalinan busana sepanjang konsert, malah penampilan vokalisnya Pasha tidak berlebihan, seragam pula bersama ahli.

Berdurasi hampir tiga jam, konsert tersebut tidak sedikit pun mencetuskan rasa mengantuk bahkan pemuja bakatnya bagai tidak keruan apabila suara serak basah Pasha menyapa peminat.

UNGU bukan sahaja berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemuzik terbaik dalam sejarah industri hiburan Indonesia, malah setiap karya mereka berjaya dijual dengan angka memberangsangkan.

Malam remuk jiwa

Khalayak tahu rantaian lagu hit kumpulan seberang itu bakal membawa mereka ke terowong masa seiring imbasan kisah cinta yang mungkin pernah mekar berlatarkan lagu tersebut.

Antara repertoire persembahan adalah Melayang, Berikan Aku Cinta dan Cinta Dalam Hati diikuti dengan lagu yang membuat 2,500 penonton galau dan sendu bersama-sama seperti Aku Tahu dan Saat Bahagia.

Ungu melantunkan lebih 17 dendangan termasuk lagu-lagu hit yang pernah menjadi siulan bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air pada suatu ketika dahulu

Tidak hanya bernyanyi, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said itu turut menyelit ruang interaksi bersama peminat selain mendedahkan bahawa baru beberapa hari pulang dari menunaikan ibadah haji.

“Assalamualaikum. Perlu beri salam dahulu sebab baru pulang haji, semalam dari Saudi saya dimaklumkan jemaah haji terbaik datang dari Malaysia. Kita perlu kata tahniah jika itu semua benar.

“Terima kasih penganjur mempercayakan kami ke Ungu untuk membuat konsert di Malaysia.

“Paling tidak menyangka, ‘sold out’ malam ini sebanyak 2,500 tiket,” katanya sebelum meneruskan persembahan.

DUET antara Ungu dan penyanyi jemputan Ayda Jebat menjadi antara ‘highlight’ istimewa sepanjang persembahan.

Kemeriahan berganda

Momentum konsert dimantapkan dengan persembahan lagu Ku Ingin Selamanya dan Sayang.

Namun menariknya, Pasha turut membuat kejutan memberikan hadiah jambangan bunga kepada sepasang suami isteri bertuah.

Bukan itu sahaja, mereka turut dijemput naik ke atas pentas sambil dinyanyikan secara langsung lagu Ku Ingin Selamanya sebagai hadiah istimewa.

Kemeriahan berganda, peminat seterusnya dikejutkan dengan persembahan duet bersama artis undangan Ayda Jebat menerusi lagu Tercipta Untukku dan Bismillah Cinta, sekali gus menderaskan lagi adrenalin konsert.

Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘healing’ itu kembali berteriak sebaik vokalis mula membuka mulut menyanyi syahdu itu, sekaligus menghangatkan lagi malam penuh nostalgia.

Di tengah kemeriahan, hadir satu momen yang benar-benar meruntun jiwa. Lagu Bila Tiba dan Andai Ku Tahu disampaikan sebagai penghormatan buat pemain keyboard Ungu, mendiang Gatot Kies Afierianto yang meninggal dunia sebulan lalu.

Ketika itu, seisi dewan menjadi senyap, bukan kerana bosan, tetapi terkesima. Muzik yang sebelumnya membalut luka cinta, kini merintikkan titisan kehilangan.

“Tepat 40 hari lalu kami ditinggalkan pemain keyboard kami iaitu Gatot Kies Afierianto yang meninggal dunia. Lagu tersebut khas untuknya,” ujarnya.

Penuh tenaga

Namun Ungu tidak membiarkan duka terus berakar. Lagu seperti Berjanjilah, Kekasih Gelapku dan Demi Waktu membangkitkan semula nadi penonton membuatkan gelanggang senyap tadi kembali bergema.

Nyanyian sepenuh hati kumpulan yang ditubuhkan pada 8 Julai 1996 itu menjadi ‘sing along’ di bibir penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.

Apa yang menjadikan konsert begitu luar biasa adalah gabungan muzik orkestra pimpinan JP Denny bersama 14 pemuzik profesional. Setiap lagu yang sinonim dengan bunyi pop rock kini dibalut dalam jubah muzik mewah, menyegarkan tanpa mencemarkan identiti asal.

Tidak keterlaluan jika dikatakan konsert malam itu punyai kualiti tinggi selain mempamerkan keaslian aura dan berpasak pada identiti tersendiri yang tidak mungkin terciplak kumpulan lain.

Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat menerusi dua lagu wajib goyang iaitu Hampa Hatiku dan Seperti Mati Lampu sebelum menutup persembahan.

Penonton yang sudah sekian lama terasuk mula berdiri berteriak sambil bergoyang mendengar lagu dialunkan penuh semangat. Kehangatan suasana yang sarat penonton membuktikan kumpulan itu terus relevan biarpun hampir tiga dekad ditubuhkan.

Kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan umur menjadi bukti konkrit, usia tua atau muda, mereka tetap sempurna melukis memori bersama larut dalam alunan lirik-lirik lagu penuh makna.

Vokal Pasha seperti tidak pernah terusik dek zaman. Kelunakan dan lenggok tona suaranya tetap ampuh dan berbisa seperti awal kemunculan dahulu.
– IQBAL ROSLI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI