fbpx

[VIDEO] Cucu didakwa curi kad ATM datuk, sakan berbelanja RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON

MELAKA – Seorang remaja berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya, Mei lalu.

Tertuduh, Izhan Syahmi Izhar Shapawi bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milikan Ahmad Jantan, 71, di sebuah rumah beralamat di Solok Setulang Daing, Bukit Rambai pada pukul 1.30 petang, 30 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Sekeyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya dihendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Difahamkan tertuduh menggunakan kad ATM datuknya itu untuk berbelanja termasuk membeli alat ganti motosikal dan barang kemas dengan jumlah keseluruhan sekitar RM20,000.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan ibu anak guamnya hadir sebagai penjamin.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI