fbpx

CIMB ramal KDNK suku kedua 4.2%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.2 peratus bagi suku tahun kedua 2025 daripada 4.4 peratus pada suku pertama, berdasarkan data ekonomi awalan bagi bulan April dan Mei.

Kajian Pasaran dan Perbendaharaan CIMB dalam nota kajian yang diterbitkan hari ini berkata, angka tersebut bakal membawa kepada pertumbuhan KDNK sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh separuh tahun pertama 2025, berbanding 5.1 peratus bagi tempoh sama tahun 2024.

Ahli Ekonomi Kanan CIMB Securities, Vincent Loo berkata, untuk bulan Jun, aktiviti ekonomi kelihatan stabil, dengan Indeks Pembelian Pengurus Pembuatan S&P Global Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kepada 49.3 (Mei: 48.8). 

“Selain itu, muatan hadapan eksport yang berterusan, didorong oleh lanjutan tarikh akhir tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 1 Ogos mungkin mengimbangi sebahagian daripada penurunan pengeluaran perlombongan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya meramalkan pertumbuhan KDNK pada paras 4.3 peratus bagi tahun penuh 2025, bagaimanapun ia berasaskan andaian bahawa tarif 10 peratus ke atas eksport Malaysia ke AS ketika ini kekal sehingga akhir tahun.

“Perkembangan terkini menunjukkan kemungkinan peningkatan tarif kepada 25 peratus pada 1 Ogos ini, bergantung kepada hasil rundingan perdagangan AS-Malaysia yang sedang berjalan. 

“Jika dilaksanakan, tarif yang lebih tinggi dijangka mencetuskan lonjakan sementara muatan hadapan eksport dan rangsangan jangka pendek ini berkemungkinan besar menghasilkan persekitaran perdagangan yang lebih perlahan selepas Ogos, seterusnya menjejaskan prestasi eksport Malaysia.

“Dalam senario buruk ini, pertumbuhan KDNK 2025 boleh berkurangan kepada sekitar 4 peratus, dengan risiko tambahan yang berpunca daripada pelaburan dan keyakinan perniagaan yang lebih lemah,” katanya.

Jabatan Perangkaan dijadualkan menerbitkan anggaran awak KDNK suku tahun kedua 2025 pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI