PETALING JAYA – Detik hitam atas pentas menjadi mimpi ngeri buat anggota kumpulan Mamamoo, Hwasa apabila penyanyi itu mendedahkan kini mengalami masalah pendengaran serius selepas alat komunikasi di telinga (ear monitor) yang dipakai meletup ketika membuat persembahan.
Menerusi temu bual di sebuah rancangan realiti, idola berusia 30 tahun itu menjelaskan insiden berkenaan berlaku akibat tindakannya menaikkan tahap bunyi alat itu ke tahap maksimum, sehingga mengakibatkan gegendang telinga kirinya rosak dan mengalami tinnitus atau masalah pendengaran.
“Selalunya apabila sorakan peminat sangat kuat, saya naikkan bunyi ear monitor ke tahap paling maksimum supaya boleh dengar muzik dengan jelas.
“Ketika menjayakan persembahan di Boston, alat itu benar-benar meletup menyebabkan gegendang saya rosak dan saya juga alami tinnitus,” katanya.
Akibat insiden tersebut, Hwasa kini berdepan gangguan pendengaran pada telinga kiri.
Tidak terhenti di situ, Hwasa turut mengalami kesakitan teruk di bahagian kaki, namun tetap meneruskan persembahan pada hari kejadian.
“Terlalu sakit dan tak boleh berdiri waktu itu, tapi saya kena teruskan juga. Saya tak sanggup hampakan peminat,” tambahnya.
Terdahulu, Hwasa memulakan jelajah solo pertamanya, Twits, dengan persembahan penuh semangat di MGM Music Hall, Boston, Amerika Syarikat.
Konsert tersebut menampilkan gabungan lagu solonya, lagu-lagu daripada kumpulannya, Mamamoo, serta nyanyian semula dendangan artis lain yang memberi inspirasi kepadanya.
Hwasa turut dikenali menerusi dua album mini iaitu Maria (2020) dan O (2024), sebuah album single Guilty Pleasure (2021), serta beberapa album solo popular seperti Twit.
Selain Hwasa, kumpulan Mamamoo turut dianggotai Solar, Wheein dan Moonbyul. -KOSMO! ONLINE