PONTIAN – Seorang akauntan wanita berputih mata apabila kerugian RM122,700 selepas dijerat sindiket penipuan yang menyamar pekerja syarikat penghantaran barang.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 33 tahun semalam.
Katanya, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu memaklumkan dia mempunyai bungkusan mengandungi buku bank dan token.
“Mangsa menafikan perkara itu dan diarah supaya membuat laporan polis. Panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis yang mendakwa nama wanita itu tersenarai dalam individu dikehendaki.
“Oleh kerana bimbang dan terperdaya dengan kata-kata suspek, mangsa membuat pemindahan wang sebanyak lapan kali ke dalam empat akaun bermula 18 Jun hingga 11 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, jumlah wang yang dipindahkan sebanyak RM122,700 kononnya bagi membersihkan nama mangsa dalam senarai tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE