KULAI – Tiga lelaki yang disyaki ahli sindiket pemerasan terhadap lelaki gersang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistrer di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dengan menggunakan getah paip di sebuah rumah di Taman Lagenda Putra, di sini, dua bulan lalu.
Tertuduh, Sham Chee Fei, 33, Tommy Voo Tze Hau, 27, M. Nageswaran, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu secara bersama dengan suspek yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 26 tahun dengan menggunakan getah paip sebagai senjata untuk melakukan kesalahan mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 malam pada 22 Mei hingga pukul 6 pagi pada 23 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra.
Bagi pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya manakala Chee Fei dan Tze Hau diwakili peguam Gary Ng Boon Hui dan Nageswaran diwakili Lim Seay Sean.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE