PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku atau pelanggaran integriti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia susulan laporan media sebelum ini mengenai salah laku melibatkan insiden kekerasan terhadap klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
Selain itu, Ruslin turut mengalu-alukan laporan siasatan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan kegagalan mengambil tindakan susulan terhadap individu yang disahkan positif dadah.
“AADK akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan tatakelakuan perkhidmatan.
“AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan
berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ruslin, AADK komited untuk terus menjalin kerjasama erat dengan EAIC dalam usaha memperkukuh tadbir urus yang baik di peringkat agensi, khususnya melibatkan aspek siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan isu integriti dalam kalangan warga AADK.
Semalam, EAIC memaklumkan pihaknya akan merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK berhubung kegagalan pegawai AADK Selangor mengambil tindakan susulan terhadap seorang individu yang disahkan positif dadah oleh makmal patologi hospital awam.
EAIC berkata, ia susulan pihaknya menerima aduan terhadap pegawai AADK Selangor berhubung perkara berkenaan dan menjalankan siasatan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Katanya, siasatan mendapati terdapat kecuaian pegawai AADK yang gagal memastikan individu itu menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah yang menyukarkan pelaksanaan tindakan susulan apabila individu berkenaan tidak hadir semula ke Pejabat AADK seperti diarahkan.- KOSMO! ONLINE