fbpx

90 anggota, pegawai polis di Kelantan turun berat badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ali (tengah) menyampaikan hadiah kepada Mohd. Aiman yang memenangi Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seramai 90 daripada 354 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Kelantan berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam bulan bermula November 2024 hingga April lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kesemua warga PDRM Kelantan yang berusia dalam lingkungan 45 tahun itu dikenal pasti berjaya mengurangkan indeks jisim badan (BMI) semasa Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan.

Menurutnya, program itu membantu warga PDRM Kelantan mencapai BMI yang ideal meningkatkan stamina dan daya tahan fizikal sekali gus mewujudkan budaya kerja yang sihat.

“Dalam konteks PDRM, BMI ideal bukan sekadar ukuran kesihatan, tetapi mencerminkan tahap kesiapsiagaan fizikal, imej profesionalisme dan keupayaan untuk menjalankan tugas dengan efisien dalam setiap keadaan.

“Sepanjang program itu, terdapat anggota dan pegawai yang berjaya menurunkan berat badan malah ada juga tiada perubahan BMI,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Ali menyampaikan hadiah kepada Konstabel Mohd. Aiman Abdullah, 32, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang yang dinobatkan juara Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan apabila berjaya menurunkan berat badan sehingga 27.8 kilogram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI