fbpx

Tukang cuci Bangladesh didakwa ‘sentuh’ jururawat di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jururawat. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

MELAKA – Seorang tukang cuci warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jururawat wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Bokhari Abu Boshir Mohammad, 30, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 33 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di Dewan Bedah 4, Hospital Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.30 malam pada 9 Jun 2025.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan RM20,000 dan dikenakan syarat tambahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana menanggung tujuh adik-beradik di negara asal dan dia adalah penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan dua penjamin tempatan yang menetap di Melaka beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Bukit Baru setiap bulan, dilarang mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 18 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI