JASIN – Para guru diminta meninggalkan kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan murid serta bukan profesional bagi memastikan langkah-langkah dilakukan dalam mengurangi beban golongan pendidik menjadi lebih strategik.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, setakat ini beliau turut meminta beberapa buah program peluncuran ditangguhkan untuk dinilai semula kepentingan acara berkenaan.
Ujarnya, para guru seharusnya memberikan tumpuan kepada Melindungi Masa Instruksional (MMI) untuk memastikan setiap murid menerima pendidikan terbaik termasuk akademi dan pembangunan sahsiah.
“Pengetua dan guru besar perlu berada di sekolah kerana kita perlukan peranan mereka ini untuk mengawal dan mengurangkan beban guru yang mungkin terkait dengan aktiviti-aktiviti tidak memberi impak.
“Guru-guru pula diminta beri tumpuan pada MMI untuk pendidikan anak-anak, tak perlu pening-pening kepala mengenai perkara lain yang tidak profesional, tinggalkan atau batalkan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga telah mengingatkan perkara sama di peringkat Pusat Pendidikan Daerah (PPD) agar penyelarasan aktiviti dilakukan supaya tidak berlakunya pertindanan, sekali gus mengelakkan ramai guru melakukan tugas di luar sekolah.
“Jika tak buat penyelarasan, di jabatan ada program, di PPD pun buat acara sama dan akhirnya ramai guru keluar dari sekolah.
“Ini saya sudah tegaskan dan InsyaAllah di kita akan tengok di depan ini bagaimana inisiatif-inisiatif boleh dilaksanakan seperti diminta oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya guru kita sejahtera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE