JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah termasuk bunga ganja selepas dalang dan dua ahlinya ditahan dalam lima serbuan di sekitar bandar raya ini Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.55 juta.
Katanya, seorang lelaki tempatan dan dua wanita asing berusia 32 hingga 39 tahun diberkas.
“Sindiket tersebut menjadikan rumah dan bilik sewa di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan sebagai tempat menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedar ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurut Kumar, dadah yang dirampas termasuklah 20.7 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 18.4kg ganja, 154.25 gram ketamin dan 141 gram pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM3,556,250.
UJian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine.
Mereka direman sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE