BERA – Rangka manusia yang dijumpai di Felda Bukit Mendi, di sini pada Mei lalu dikenal pasti milik lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang kira-kira 14 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ia milik mangsa setelah rangka tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pad 9 Mei lalu.
“Rangka yang ditemulan dalam semak di kawasan paya di tanah rancangan itu disahkan milik Hanafi Mohamad yang hilang 3 Mei tahun lalu.
“Keputusan makmal Jabatan Kimia yang diterima menunjukkan padanan DNA dengan waris si mati adalah 99.9999 peratus, sekali gus merungkai misteri kehilangan lelaki tersebut pada tahun lalu,” katanya.
Menurut Zulkifle, setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian lelaki itu. Difahamkan, keluarga Hanafi sudah menuntut rangka itu untuk urusan pengebumian.
Zulkifle berkata, sebelum ini ahli keluarga terdekat mengesahkan rangka yang ditemukan itu berkemungkinan milik Hanafi berdasarkan pakaian yang dijumpai.
Tambahnya, rangka manusia termasuk tengkorak itu dijumpai seorang lelaki ketika membersihkan semak kira-kira 100 meter dari belakang rumahnya di Felda Bukit Mendi pada 2 Mei lalu.- KOSMO! ONLINE