GEORGE TOWN – Projek-projek di bawah Program Ekonomi Madani yang diperkenalkan di kem-kem tentera dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan tambahan buat keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta merancakkan industri hiliran pertanian negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan ATM tidak hanya bergantung kepada kekuatan aset dan latihan anggota, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan keluarga mereka yang menjadi tulang belakang kepada kestabilan komuniti pertahanan.
“Jadi dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi kita telah mengenal pasti beberapa ilmu yang boleh kita pindahkan menerusi Program Ekonomi Madani bagi pengunaan keluarga anggota
yang terdapat dalam kem.
“Ia juga membantu peranan yang boleh dimainkan oleh tentera terutamanya keluarga mereka dalam soal untuk membangunkan industri, menjayakan soal keterjaminan makanan dan secara tak langsung membantu untuk menjayakan industri hiliran pertanian,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi lawatan kerja ke Kem Sungai Ara di sini, hari ini.
Lawatan itu turut disertai Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama barisan kepimpinan kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.
Sepanjang lawatan, Mohamed Khaled meninjau pelaksanaan dua projek utama Program Ekonomi Madani di kem tersebut iaitu penternakan madu kelulut dan cendawan tiram hasil kerjasama strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Projek madu kelulut yang dijalankan oleh pasukan 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dengan kerjasama USM menggunakan log hive dan teknologi bioteknologi bagi menghasilkan madu berkualiti tinggi melalui kaedah penternakan sistematik.
Sementara itu, projek penternakan cendawan tiram pula melibatkan pembinaan rumah cendawan tertutup yang dilengkapi kawalan suhu dan kelembapan bagi memastikan hasil tuaian yang konsisten dan berkualiti.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, inisiatif menerusi projek di bawah Program Ekonomi Madani itu bukan sahaja mengisi masa lapang keluarga tentera, malah menjadi sumber pendapatan tambahan serta medan pemindahan ilmu antara universiti dan masyarakat dalam kem. – KOSMO! ONLINE