PETALING JAYA – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan skuad lebuh raya elit negara tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla pada Disember depan.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pasukan lelaki dan wanita akan turun beraksi untuk mempertahankan pencapaian mereka pada temasya terdahulu di Kemboja, termasuk pingat emas acara lepas beramai-ramai.
“Skuad elit lelaki akan mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Kemboja. Ini pasti dan saya sendiri akan turun padang untuk memastikan ia menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan rasmi PKBM hari ini.
Tambahnya, atlet wanita negara juga tidak ketinggalan untuk menyahut cabaran itu selepas kejayaan Nur Aisyah Mohammad Zubir meraih pingat pada Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara kegemarannya.
“Saya akan pastikan skuad elit wanita turut bertanding di Korat nanti,” ujarnya.
Mengulas hubungan badan induk itu bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Amarjit menegaskan PKBM tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan pihak berkenaan dan sentiasa mendapat layanan baik daripada MSN.
“MSN telah melayan semua permintaan kami dengan baik dan terperinci. Tidak timbul isu kononnya PKBM mempunyai permasalahan dengan MSN. Malah, mereka sentiasa membantu kami termasuk dari segi kewangan,” katanya.
Justeru, Amarjit menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah sekiranya timbul dakwaan atau ketidakpuasan hati melibatkan MSN agar isu sedemikian diselesaikan secara bersemuka, bukan secara terbuka.
“Saya sanggup bertemu mana-mana pihak yang tidak puas hati. Namun, lebih baik ia diselesaikan secara perbincangan, bukannya pergaduhan atau tuduh-menuduh,” ujarnya.
Pada edisi lalu di Kemboja, skuad lebuh raya negara turut diperkuat pelumba dari pasukan profesional seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan Amarjit menyeru semua pelumba agar kekal bersemangat mewakili negara di Thailand pada Disember depan. – KOSMO! ONLINE.