fbpx

PKBM diberi dana, tiada isu persiapan lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEFRI menegaskan MSN sentiasa memberikan sokongan kepada PKBM, termasuk dari segi kewangan. - SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Tidak ada sebarang kelemahan dalam persiapan skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan ke temasya Sukan SEA Thailand 2025 memandangkan dana sudah diberikan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Kenyataan itu hadir menerusi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin yang menjelaskan, peruntukan sebanyak RM300,000 sudah diluluskan kepada PKBM untuk persiapan ke temasya tersebut.

Beliau turut menegaskan, dakwaan yang mengatakan kononnya badan induk itu tidak membantu dari sudut keperluan ataupun persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab memilih pasukan terletak di bahu PKBM.

“Untuk makluman semua, kita dengan PKBM sudah pun mengadakan perbincangan ketika bengkel penyenaraian atlet ke arah temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung pada 16 Januari lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan negara bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional. Terpulang kepada PKBM untuk pilih sama ada (pelumba) TSG atau MPC ke Thailand nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Terdahulu, PKBM menerusi satu kenyataan rasmi menegaskan, skuad berbasikal lebuh raya tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 dan sedia untuk mempertahankan pingat emas dimenangi sebelum ini.

Pada masa sama, Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh turut menafikan pihaknya tidak pernah ada masalah dengan MSN memandangkan badan induk itu sentiasa memberikan sokongan, termasuk dari segi kewangan.

Sementara itu, Jefri menjelaskan, PKBM ada memohon kepada MSN untuk pembelian basikal, namun sekiranya Terengganu Cycling Team (TSG) dipilih, maka keperluan itu tidak timbul kerana pasukan tersebut sudah memiliki kelengkapan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya minta pihak PKBM untuk datang kembali ke meja perbincangan dan kita boleh meneliti apa lagi keperluan mereka ke Sukan SEA nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI