KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam Terengganu direman lima hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa melibatkan beberapa permohonan tanah kerajaan di negeri ini.
Perintah reman sehingga 18 Julai itu dibenarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal percaya lelaki berusia 50-an itu terlibat dalam penyelewengan tanah kerajaan antara tahun 2019 hingga 2023.
“Suspek disyaki menukar pelan tanah dan mengurus beberapa permohonan berkaitan tanah kerajaan bagi tujuan kepentingan peribadi, termasuk kepada anak-anaknya.
“Dua bidang tanah masing-masing seluas kira-kira 836.13 meter persegi dan 557.42 meter persegi di sebuah daerah di negeri ini telah disita SPRM bagi membantu siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE