GEORGE TOWN – Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dalam satu serbuan di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Tanjong Tokong di sini, Khamis lalu.
Operasi yang bermula pukul 9.30 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan wanita warga Thailand berusia 20 tahun.
Menurutnya, kedua-dua suspek diberkas di tepi jalan di Pulau Tikus yang kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Tanjung Tokong dan hasil pemeriksaan di rumah menemui sebanyak 15 ketulan mampat daun-daun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki ganja seberat 8.2 kilogram (kg).
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,420,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, hasil risikan mendapati sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Jelasnya, saringan awal mendapati suspek lelaki positif benzo dan mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek wanita didapati negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Julai hingga 17 Julai 2025 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE